KAMPUNG NIUP, KOTA SAMARAHAN

Menurut cerita orang tua, Kampung Niup telah wujud sejak tahun 1820.  Sejarah awal kampung ini bermula dengan sebuah petempatan kecil yang dikenali sebagai Kampung Nangka sebelum berpindah ke lokasinya seperti yang dapat kita lihat pada hari ini. Pengasas kampung ini ialah seorang perwira yang dikenali sebagai Pak Seman dan rakannya yang bernama Haji Awang Tera Bin Awang Jegot, bersusur galur daripada keturunan bangsawan dari Brunei.

 

Faktor jumlah penduduk yang semakin bertambah saban tahun menyebabkan penduduk mulai meneroka kawasan pertanian dan penempatan baru yang terletak di hulu kampung. Ditakdirkan secara kebetulan semasa berlakunya perpindahan itu, dengan tidak semena-mena berlaku ribut kencang bertiup yang seolah-olah merestui akan penghijrahan itu. Dengan mengambil peristiwa angin ribut yang bertiup itulah maka Kampung Niup mendapat namanya dan kekal sehingga ke hari ini.

 

Dalam pada itu, terdapat tinggalan bersejarah yang terletak di perkarangan Sekolah Kebangsaan Niup iaitu Makam Syeikh Tok Ami atau Tengku Husein yang dikatakan telah ada di situ sejak zaman penjajahan Jepun. Beliau dikatakan merupakan antara tokoh masyarakat. Kewujudan makam tersebut menjadi antara tanda membuktikan kampung ini telah lama didiami oleh penduduk kampung.

 

Sehubungan itu, antara perkara istimewa dan cukup sinonim dengan Kampung Niup adalah warisan perahu tambang. Suatu ketika dahulu, penambang dari kampung ini merupakan antara mereka yang aktif menguasai aktiviti menambang di Pangkalan Batu serta tebingan sungai Kuching. Aktiviti ekonomi tersebut dipercayai telah wujud sejak zaman Brooke menjajah Sarawak lagi. Salah seorang daripada warga Kampung Niup yang terlibat dalam pekerjaan berkaitan perahu tambang adalah Tuan Haji Narawi Samah. Selain pernah menjadi penambang perahu, beliau juga merupakan antara tukang perahu tambang yang terkenal di Kota Samarahan. Kearifan lokal seni pertukangan perahu yang ada pada beliau merupakan permata yang sangat berharga lebih-lebih lagi pada zaman moden kini, individu yang memiliki kemahiran seperti beliau dapat dibilang dengan jari.